Pada 27 Oktober 2011 yang lalu telah diadakan satu majlis bagi merasmikan Produk COOP 1M & Pusat Pengedaran FTSB di Gudang Kontena Nasional, Subang Jaya. Majlis yang diberi nama ”Pelancaran Produk COOP 1M & Pusat Pengedaran Felda Trading Sdn Bhd” adalah bertujuan untuk melancarkan produk COOP 1M yang dikeluarkan oleh Felda Trading Sdn Bhd, yang juga . merupakan konsultan yang dilantik oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengeluarkan dan mengedarkan produknya.
Dalam majlis yang sama juga, dilaksanakan perasmian gudang dan pusat pengedaran barangan Felda Trading Sdn Bhd bagi memperkemaskan penghantaran barangan ke D’Mart. Majlis yang dihadiri lebih dari 300 orang itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Turut memberi ucapan pada majlis tersebut selain ucaptama perasmian dari Dato’ Sri Ismail Sabri ialah Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan Dato’ Tan Lian Hoe, Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Hj Md. Yusof B. Samsudin, Ketua Eksekutif Koperasi Permodalan Felda Bhd En Mazlan A Talib, Ketua Eksekutif FTSB & Ketua Eksekutif KN bagi bersama-sama menyaksikan perasmian ”Pelancaran Produk COOP 1M & Pusat Pengedaran Felda Trading Sdn Bhd).
Atas komitmen yang tinggi dan hasil yang memuaskan, sekali lagi Felda Trading Sdn Bhd telah diberi kepercayaan oleh SKM dengan mengeluarkan produk dengan jenama COOP 1M. Produk COOP 1M ini akan berada di pasaran dengan “tagline” nya yang tersendiri iaitu “Lebih Murah! Lebih Jimat! Sama Hebat!”. “Tagline” tersebut sudah cukup untuk merungkaikan dan menjelaskan bagaimana keadaan, kualiti dan harga yang akan ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan khususnya ahli-ahli koperasi di luar sana.
Felda Trading Sdn Bhd telah melantik pihak ketiga iaitu Kontena Nasional sebagai rakan strategik yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan logistik keseluruhan (total logistic). Kontena Nasional ini adalah sebuah syarikat yang akan bertanggungjawab dalam menguruskan gudang, pengangkutan dan penghantaran barang-barang kepada semua D’MART yang dimiliki Felda Trading serta semua COOPMART yang terlibat dalam program TUKAR.
Ketua Eksekutif FTSB Eimir Huzaimi Md Noh berkata menerusi kerjasama itu, Kontena Nasional akan bertanggungjawab menyimpan, merekod inventori, dan mengedarkan barangan keluaran koperasi di bawah SKM ke kedai runcit koperasi seluruh negara. "Dengan kerjasama ini ia dapat mengurangkan kos pengedaran tanpa melibatkan orang tengah seterusnya memastikan harga produk yang dijual kepada pengguna adalah berpatutan," katanya.
Menurut Ketua Eksekutif Koperasi Permodalan Felda Berhad En Mazlan A Talib, kerjasama antara Felda Trading Sdn Bhd dengan Kontena Nasional Berhad ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kos operasi dan pengurusan gudang yang saban hari semakin meningkat. Di samping itu, ia mampu mencapai kecekapan logistik dan memperbesarkan skala ekonomi penghantaran dan produk yang diuruskan dengan efektif ke seluruh Malaysia. Malah penghantaran barangan melalui Kontena Nasional menjadi lebih efektif apabila penghantaran barangan dapat diselaraskan ke Sabah dan Sarawak tanpa sebarang masalah.







